Saturday 10 September 2011

HIJRAH MENJADI USAHAWAN MESTILAH sebelum pencen

Usahawan Pencen
USAHAWAN PENCEN

Semasa sedang bergelut membangunkan perniagaan kereta sewa, saya menerima nasihat daripada seorang rakan usahawan bernama Haji Othman Achim. Beliau merupakan salah seorang mentor saya yang amat saya hormati. Secara ringkasnya beliau merupakan seorang anak nelayan miskin di Bintulu. Beliau dilahirkan pada tahun 1968. Semenjak kecil beliau sentiasa berusaha membantu keluarganya menambah pendapatan. Ketika usianya 10 tahun beliau telah berjinak-jinak dengan aktiviti perniagaan dengan menjual kuih-muih hingga umurnya 15 tahun. Disebabkan kemiskinan, beliau terpaksa berhenti sekolah dan bekerja sebagai nelayan dan menjadi pembantu stesen minyak sehingga umurnya 19 tahun. Pada suatu hari semasa berjalan-jalan di sekitar pekan Bintulu, beliau tertarik dengan kerja-kerja memotong cermin yang diusahakan oleh seorang usahawan berbangsa cina. Kerana minat untuk belajar kemahiran memotong kaca maka beliau sanggup bekerja dengan usahawan berkenaan selama 10 tahun dengan gaji RM2.50 sehari. Ketika berusia 30 tahun, beliau mengambil keputusan untuk mengusahakan perniagaan memotong kaca dan aluminium secara sambilan. Pada tahun 2000 (umur 32 tahun) beliau telah berhijrah menjadi usahawan sepenuh masa. Kini beliau merupakan pengarah syarikat Pewira Glass And Aluminium Work Dan Hakon Corporation Sdn Bhd. Di antara Aktiviti Syarikat beliau adalah membuat barangan berasaskan Aluminium dan kaca, membina dan mengubahsuai bangunan. Syarikatnya juga terlibat dalam kerja-kerja tanah. Ketika berumur 40 tahun, beliau sudah bergelar jutawan dan dikenali sebagai kontraktor yang berjaya. Walaupun taraf pendidikannya tidak tinggi, namun pencapaian beliau jauh mengatasi rakan-rakannya yang lain.

Sebagai seorang yang sudah berpengalaman, beliau sering melihat rakan-rakanya yang mula berjinak-jinak dengan bidang keusahawanan apabila mereka sudah pencen. Padanya waktu itu sudah agak terlewat, sepatutnya apabila bersara, kita sepatutnya sedang bersenang-lenang menikmati hasil usaha setelah berpenat-lelah membanting tulang ketika muda.

“Wahi, kamu sudah melakukan tindakan yang betul kerana kamu memulakan perjalanan hijrah ketika kamu masih muda (ketika itu umur saya 27 tahun). Membina perniagaan mengambil masa yang lama, kadang kala ia mengambil masa selama tiga hingga lima tahun. Sayang sekali sekiranya kita memulakan pada usia yang agak lewat. Andaikata kita bersara pada umur 55 tahun, pada usia 60 tahun, perniagaan kita mungkin baru berjaya. Sekiranya mengambil kira faktor umur, kita mungkin mengambil masa yang lebih lama. Pada masa itu, kita sepatutnya berehat dan beramal ibadah, bukannya ke hulu-ke hilir mencari wang.

Nasihatnya itu ada kebenarannya, sewaktu mengikuti kursus keusahawanan saya perhatikan hampir separuh daripada peserta kursus terdiri daripada golongan pesara. Ketika itu saya sedang mengikuti kursus perakaunan menggunakan perisian UBS. Kebetulan saya sempat berkenalan dengan seorang warga emas yang turut mengikuti kursus berkenaan. Saya agak kagum dengannya kerana dia sanggup mengikuti kursus yang begitu mencabar. Sekiranya kita tidak mempunyai ilmu asas perakaunan yang kukuh, Perisian UBS bukannya mudah untuk digunakan.

Di dalam kursus berkenaan, sahabat saya yang juga merupakan tenaga pengajar kepada kursus berkenaan membantu mempromosi buku Rahsia Senang Mendapat Pinjaman yang baru sahaja diterbitkan pada bulan April 2011. Salah seorang pembeli buku berkenaan merupakan warga emas yang saya ceritakan sebentar tadi. Saya akan menamakan beliau sebagai “Pak Haji” sahaja Setelah membaca buku berkenaan Pak Haji berkenaan meminta saya melawat ke rumahnya. Beliau ingin mendapatkan pendapat saya tentang perniagaan yang sedang dilakukan. Semasa dalam perjalanan pulang saya sempat bertanya tentang latarbelakang beliau.

Menurut ceritanya, dahulu dia merupakan pembantu peribadi kepada orang kenamaan di Sarawak. Dia biasa pergi ke luar negara mengiringi orang kenamaan berkenaan menghadiri mesyuarat ataupun lawatan rasmi. Dia biasa duduk semeja makan bersama orang kenamaan lain dan raja-raja. Pada waktu itu dia tidak terfikir untuk memulakan perniagaan, mungkin sibuk menguruskan keperluan orang kenamaan tersebut.

Kini dia sudah bersara dengan wang pencen sebanyak RM1500 sebulan. Umurnya sudah mencecah 65 tahun, syukur alhamdulillah katanya kerana dikurniakan badan yang masih sihat dan masih boleh bekerja. Walau bagaimanapun dia merasakan wang pencennya tidak mencukupi kerana separuh daripadanya digunakan untuk membayar hutang kad kredit. Kos sara hidup yang semakin meningkat, menyebabkan beliau terpaksa mencari pendapatan tambahan

Salah satu pekerjaannya ialah mengutip besi buruk, kotak dan tin aluminium. Beliau menceritakan bagaimana susahnya beliau terpaksa berebut dengan pengutip besi buruk yang lain. Kebiasaanya dia akan tewas kerana tidak sanggup bertumbuk dengan orang yang lebih muda daripadanya. Sebagai pelan kecemasan, beliau turut mengusahakan penternakan ikan keli di dalam kolam. Walau bagaimanapun akibat ditipu rakan kongsi, projek tersebut mengalami kerugiaan.

Walaupun mengalami kerugian, beliau tidak berputus asa, beliau perlu melakukan sesuatu. Sambil mempelawa saya menjadi downline kepada produk pil seks, dia mengatakan inilah peluang untuk saya untuk menambah pendapatan. Saya agak malu juga, bagaimana seorang Pak Haji boleh mempelawa saya menjual barangan yang memaparkan lelaki dan perempuan sedang melakukan hubungan asmara. Saya menolaknya dengan baik (saya memang tidak berminat dengan perniagaan MLM).

Kemudian dia membawa saya melihat sekeliling rumahnya. Rumahnya agak buruk dan usang, walau bagaimanapun kawasan rumahnya sangat cantik, rumahnya terletak betul-betul di tepi Sungai Sarawak. Hati saya begitu tenang melihat air sungai itu mengalir perlahan. Di Seberang sungai berkenaan terletaknya Bandaraya Kuching. Kelihatan bangunan-bangunan tinggi tersergam indah. Sekiranya saya memiliki rumah itu, saya akan menyediakan perkhidmatan sewa, jet ski, kayak dan permainan sukan air. Pada sebelah malamnya saya akan membuka restoran terapung. Saya dapat membayangkan, suasana di kawasan ini  akan bertukar romantik apabila lampu-lampu bangunan dari Bandaraya Kuching memantul kerlipan cahaya dari permukaan sungai.

Diakhir lawatan, dia bertanya kepada saya “Wahi, boleh beri pendapat apa yang saya boleh lakukan untuk menambah pendapatan?”. Saya kelu, saya tidak mempunyai jawapan, bagaimana saya hendak memberi nasihat kepada orang yang sudah berumur dua kali ganda daripada saya. Di dalam buku saya Rahsia Senang Mendapat Pinjaman, saya telah menyenaraikan semua kesilapan tipikal yang biasa dilakukan oleh para usahawan dan ya dia melakukan kesemua kesilapan itu. Pertama dia menjalankan perniagaan ikan keli di dalam kanvas kerana ikut-ikutan, bukan sebab minat dan kemahirannya. Kedua dia memulakan perniagaan yang memerlukan modal yang besar, akibatnya dia terpaksa menampung kerugian perniagaan ikan keli itu dengan kad kreditnya. Ketiga, dia terlibat dengan perniagaan MLM, dan produk itu memang memang mengarut. Bagaimana dia dapat menjual pil seks  yang diimport dari China, yang tidak pasti tentang keselamatannya dan harganya langsung tidak masuk akal. Kesilapannya yang terakhir, dia memulakan semua itu pada masa yang terlalu lewat. Terus-terang saya katakan, saya tidak mempunyai jawapan kepada soalannya. Saya hanya menceritakan tentang potensi rumahnya sebagai pusat sukan air dan restoran terapung.  Namun nampaknya dia tidak berminat, kerana ia mungkin memakan modal yang besar dan pada usia sebegitu sukar untuk dia mendapatkan pinjaman. Saya hanya dapat mendoakan agar apa saja yang sedang diusahakan akan membuahkan hasil.

MENJEJAKI JUTAWAN SENYAP........

CHEF LI: MENJEJAKI JUTAWAN SENYAP
Saya ingin mengulas buku motivasi ini kerana (Dr Rusly bin Abdullah PhD) Chef Li mengutarakan konsep kejayaan yang sepadan dengan tema blog saya. Chef Li memberi inspirasi kepada insan biasa supaya mengejar kejayaan hidup dengan sabar dan mulakan secara kecil-kecilan. Walaupun bukunya yang masyhur ini sudah lama berada di pasaran, tetapi manfaatnya tidak ada istilah luput.
Anda patut menjadi kaya. Anda tidak berhak menjadi miskin. Hidup di Malaysia tetapi tidak kaya adalah malang ~ Chef Li
JUTAWAN SENYAP?
Siapakah jutawan-

jutawan senyap yang di singkap oleh Chef Li dalam buku-bukunya? Istilah jutawan senyap di sini adalah golongan insan yang sudah mencapai tahap jutawan, tetapi tidak dikenali, langsung tidak glamour, dan mungkin tidak dikenalpasti oleh masyarakat. Jutawan Senyap ini menjalankan peniagaan yang tidak sensasi seperti peniaga pasar malam, penjaja di lorong-lorong kecil, peniaga jalanan yang tidak di pandang orang. Sebahagian mereka buta huruf, tamat darjah enam, janda atau ibu tunggal.
Tidakkah itu membuatkan anda terfikir bagaimana mereka melakukannya? Pertama sekali, Chef Li memperkenalkan anda kepada golongan misteri ini, kisah duka mereka dan bagaimana mereka melakukannya. Chef Li memberi petunjuk kepada anda bagaimana untuk mengenal mereka serta memahami konsep perniagaan betul. Tiada gunanya bisnes yang besar itu kalau keuntungannya kecil. Untuk memahami rahsia kejayaan ini anda perlu melihat dengan teliti dan membetulkan persepsi anda tentang perniagaan.
KISAH TELADAN UNTUK PEMBAKAR SEMANGAT
Melalui kisah-kisah kejayaan mereka ini, kita dapat memahami perniagaan dari ertikata etika dan sikap yang betul. Sikap itu yang membawa perniagaan tersebut menjadi atau hancur. Saya dapat memahami kegigihan billionaire bumiputera, Tan Sri Bukhari dari perjalanannya sebagai anak kampong sehingga bergelar billionaire. Chef Li memberi panduan bagaimana untuk memiliki semangat yang besar dan melupuskan segala rasa malu, rendah diri dan takut gagal.
Barangkali masih ramai diantara kita yang mempunyai tanggapan kerja pasar malam, tanam sayur, bela ayam dan jual cendol itu tidak ada potensi dan masa depan. Pelajar-pelajar di universiti juga tidak terlepas dari pemikiran tersebut sebenarnya. Berapa ramai yang tamat pengajian dan menulis resume berbanding yang tamat pengajian dan menulis kertas kerja projek. Walau pun begitu, kecenderungan masing-masing adalah sesuatu yang kita harus terima sebagai subjektif. Apa yang saya ingin sampaikan disini adalah, rezeki yang tidak di pandang orang itu kadang kala adalah rahmat yang tidak di singkap, di bongkar dan di selongkar oleh manusia.
Saya sangat-sangat mengesyorkan buku ini sebagai penunjuk jalan bagi teman-teman yang mencari haluan mula dalam perniagaan. Chef Li sendiri telah menyedari kewujudan golongan jutawan senyap ini semasa beliau bekerja sebagai pegawai bank dan bertemu ramai insan yang seumpamanya. Beliau sanggup berhenti dari pekerjaannya dan memulakan peniagaan pasar malam kerana ingin mengubah masa depannya. Kini, beliau adalah pengasas kepada institute teknologi kulinari Anjung Utara (ITKAU) dan pakar motivasi yang banyak memberi inspirasi pada orang lain.